Sistem semak harta pusaka
SELAYANG: Buat pertama kalinya, satu sistem dibangunkan bagi memudahkan orang ramai menyemak secara talian terus (on-line) status perkembangan kes harta pusaka ahli keluarga mereka.
Sistem Proses Pusaka e-Tasarruf dibangunkan Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd (Wasiyyah Shoppe) itu memudahkan waris pelanggan mereka membuat semakan sendiri perjalanan proses harta pusaka diuruskan Wasiyyah Shoppe sama ada di Pejabat Pesaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil atau Mahkamah Syariah.
Melalui sistem itu, waris pelanggan hanya perlu menekan butang ‘Sistem Proses Pusaka’ di laman sesawang www.wasiyyahshoppe.com.my untuk mengetahui di tahap proses urusan harta pusaka diuruskan.
Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Azrin Sabirin berkata, sistem itu membantu mengelakkan salah faham antara waris pelanggan dan peguam yang menguruskan harta pusaka mereka.
“Apabila pelanggan organisasi pengurusan harta pusaka meninggal dunia, sering berlaku salah faham antara waris dengan peguam.
“Peguam menunggu waris datang manakala waris pula tertanya-tanya bila peguam mahu mengadakan pertemuan sehingga menyebabkan kes tertangguh,” katanya Pelancaran sistem itu disempurnakan Pengerusi Panel Syariah Wasiyyah Shoppe, Prof Madya Dr Ridzuan Awang. Hadir sama, Penasihat Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin.