SEINGAT CAK, tahun lalu bukan main hangat lagi teman memperkatakan kisah hidup penyanyi popular 1990-an, Zaiton Sameon yang diangkat ke layar perak.
Maka, ramailah yang menanti, maklumlah Zaiton bukan calang-calang artis. Pada zaman kegemilangannya, siapa tidak kenal empunya diri yang terkenal dengan suara tinggi dan nyaring. Penampilannya yang seksi sering diperkatakan, malah jadi ikutan pada zaman itu.
Tunggu punya tunggu, projek istimewa diterajui Fauziah Nawi itu tidak muncul-muncul, malah lain pula yang jadi apabila timbul kisah kononnya penerbit tidak berpuas hati sehingga projek itu terpaksa diperap.
Bagaimanapun, baru-baru ini CAK dengar filem diberi judul Zaiton itu akan memulakan semula penggambaran tidak lama lagi. Khabarnya filem ini akan diarah oleh Esma Danial dan bintang utamanya pula Nurul Abd Wahab. Maknanya, Nurul akan mengambil alih tempat pelakon berwibawa, Mislina Mustafar bagi watak Zaiton Sameon.
Kalau nak ikutkan daripada segi rupa Mislina lebih mirip dengan Zaiton, tetapi kata sumber yang terbabit dengan filem biografi ini, selepas disolek Nurul tidak perlu diragui lagi. Tak kisahlah siapapun yang terpilih melakonkan watak Zaiton kerana pasti produksi buat keputusan terbaik.
Yang penting bagi CAK, filem ini dapat diteruskan kerana ramai tidak sabar-sabar mahu menontonnya.