TELUK INTAN: Seorang penjual ayam seolah-olah mendapat nyawa kedua kerana masih selamat walaupun ditembak bertalu-talu oleh seorang penjenayah dari jarak kurang tiga meter.
Dalam kejadian itu penjenayah yang menyamar sebagai orang dalam kesusahan dan sesat jalan, berpura-pura bertanya arah kepada mangsa sebelum mengeluarkan pistol lalu menembak mangsa empat kali berturut-turut.
Mangsa yang tergamam bagaimanapun terselamat apabila dua daripada peluru pistol itu hanya menembusi tapak tangan dan lengannya.
Mangsa, K Sooria Theymudu, 39, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi semalam ketika dia menunggang motosikal dari rumahnya di Jalan Feri menuju ke gerai menjual ayam miliknya di pasar Simpang Empat di sini.
Menurutnya, seorang lelaki memakai topi keledar menutup muka tiba-tiba berhenti berhampirannya dan bertanyakan alamat dicari.