DATUK Lee Chong Wei masih tidak berputus asa untuk memenangi Kejohanan Dunia apabila membuat keputusan akan terus beraksi pada 2013.
Begitupun, terlebih dulu, dia akan berusaha memenangi pingat emas di Sukan Olimpik London 2012.
“Saya akan kembali selepas Olimpik tahun depan. Mungkin ketika itu, nasib saya akan berubah,” katanya selepas pertemuan menentang Lin Dan, semalam.
Sambil memohon maaf kerana gagal memenuhi impian rakyat Malaysia yang ingin menyaksikan kejayaannya, Chong Wei berkata, dia sudah berusaha memberikan terbaik, tapi nasib tidak memihak kepadanya.
“Walaupun saya sudah mendahului dua kali dan memerlukan satu saja mata untuk menang di set penentuan, saya gagal mendapatkan mata kemenangan itu,” katanya merujuk kedudukan 20-19, 21-20 pada set penentuan.