ALOR GAJAH: Seorang peragut bernasib malang apabila diberkas dalam keadaan seluruh badannya bersalut najis kerbau di kawasan berpaya selepas meragut beg tangan seorang pelajar sebuah kolej di Kuala Sungai Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang, lelaki berusia 20-an itu diberkas sepasukan polis bersama anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), tidak lama selepas mangsa yang diragut membuat laporan.
Malah, tindakan lelaki terbabit bersama dua rakannya masih bebas seolah-olah mengundang padah apabila melakukan kegiatan itu berhampiran balai polis.
Mangsa, Nor Azma Sarif, 19, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakannya Nor Laila Mohd Nor, 22, dalam perjalanan untuk menaiki bas dari Masjid Tanah ke asrama mereka di Kuala Sungai Baru.
“Saya duduk di kerusi berhampiran tangga, manakala rakan duduk berasingan dan apabila sampai berhampiran Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, ada penumpang menekan loceng untuk turun.