ALOR SETAR: “Dia meraung minta tolong di tepi jalan hampir setengah jam sambil menggelupur kesakitan kerana seluruh badan dan mukanya disimbah hampir satu baldi asid,” kata Norhanim Hamzah, 47, ibu saudara Muhamad Hanif Sunaid@Shuib, 25, yang melecur kira-kira 50 peratus di tubuh selepas disimbah asid, awal pagi semalam.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa
.Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Muhamad Hanif yang bekerja sebagai pemandu lori pasir sejak tujuh bulan lalu baru pulang ke rumahnya Kampung Sentang, Utan Aji, dekat Kangar, sebelum didatangi lelaki tidak dikenali yang memberi salam sambil mengetuk pintu.
Norhanim yang tinggal berhampiran rumah mangsa berkata, Muhamad Hanif yang tidak mengesyaki apa-apa menjawab salam lalu membuka pintu sebelum lelaki terbabit menyimbah asid ke seluruh badannya termasuk muka.“Beberapa jam sebelum kejadian, lori dipandu Hanif rosak dan dia meminta bantuan pemilik lori berkenaan datang membaiki. Selepas itu, dia pulang ke rumah dan berehat kerana ketika itu dia hanya memakai tuala, mungkin baru lepas mandi.
“Tiba-tiba ada orang memberi salam sambil mengetuk pintu. Dia yang tidak mengesyaki apa-apa menjawab salam sambil membuka pintu.